Anak peguam terkenal, Akberdin antara tiga maut kemalangan di Karak rancang berkahwin tahun depan

BAPA kepada seorang daripada tiga mangsa kemalangan maut di Kilometer 34, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur awal pagi tadi memberitahu bahawa anaknya berhasrat mendirikan rumah tangga tahun depan dengan seorang rakan baiknya.

Datuk Akberdin Abdul Kader, 62, yang juga peguam terkemuka berkata, anaknya, Allahyarham Adli Hakim, 24, merancang untuk berkahwin dengan rakan baiknya Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, yang turut cedera parah dalam kejadian itu.

DATUK Akberdin Abdul Kader

“Gadis yang cedera parah itu (Athirah Najwa) sepatutnya menjadi bakal isteri anak saya dan kami memang sudah merancang untuk mereka berkahwin pada tahun depan kerana hubungan mereka berdua sememangnya sangat rapat.

“Saya amat mengenali gadis itu kerana dia adalah seorang daripada kawan baik anak saya sejak tiga atau empat tahun lepas. Dia juga sering datang berkunjung ke rumah kami sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam hari ini.

ALLAHYARHAM Adli Hakim Akberdin

Dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, kereta Volkswagen Golf dinaiki Allahyarham Adli Hakim bersama tiga rakannya dipercayai terbabas sebelum merempuh belakang lori simen.

Kemalangan itu turut mengorbankan dua lagi rakannya, Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, 26, manakala Athirah Najwa dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

Akberdin berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas anak sulungnya menerima panggilan daripada rakan mangsa yang berada dalam sebuah lagi kenderaan yang mengekori mereka dari belakang ketika perjalanan pulang dari Genting Highlands.

“Saya terus bergegas ke lokasi bersama anak sulung dan ketika tiba, pasukan bomba serta paramedik sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan paramedik kemudian mengesahkan tiga lelaki terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Athirah Najwa yang masih bernafas dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Akberdin berkata, keluarganya akan terus mendoakan kesembuhan wanita itu yang dilaporkan sudah sedar daripada koma dan mula bertanyakan mengenai kejadian berkenaan.

Mengenai keperibadian anak kelimanya itu, Akberdin berkata, Allahyarham Adli Hakim merupakan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia seorang yang baik, patuh dan sangat disenangi ahli keluarga.

Beliau berkata, kali terakhir mereka meluangkan masa bersama adalah pada Ahad lepas ketika bercuti sekeluarga di Genting Highlands sebelum anaknya meminta izin untuk pulang semula ke kampusnya.

Terdahulu, jenazah Adli Hakim selesai menjalani proses bedah siasat pada 3 petang dan dibawa ke Masjid Seksyen 7 untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum disemadikan pada 6.05 petang.

Upacara itu dihadiri lebih 200 ahli keluarga serta kenalan rapat termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img