Kes bunuh di Pekan Nanas, 6 ditahan, seorang masih diburu

POLIS menahan enam lelaki dalam tempoh 24 jam bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di hadapan kedai makan di Pekan Nanas, Pontian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, kesemua suspek ditahan pada jam 3.53 pagi Khamis hasil operasi Task Force Jenayah Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Menurutnya, suspek ditahan di dua lokasi iaitu Taman Botani Batu Pahat dan Pangsapuri Awam Lima Kedai di Gelang Patah.

“Hasil serbuan, seramai 6 suspek lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 22 tahun berjaya ditangkap.

“Kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadzrat Hussein berkata, polis turut merampas dua buah kenderaan termasuk Nissan Navara dan Toyota Estima.

Katanya, turut dirampas, sebilah parang, lima pelitup muka warna hitam dan sebuah telefon bimbit jenama iPhone.

“Nilai keseluruhan rampasan RM120,000, dan semua suspek kini direman selama tujuh  hari sehingga 28 Mei dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis benzo manakala lima lagi negatif.

Menurutnya, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan polis sedang memburu  seorang lagi suspek yang masih bebas.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img