SEORANG pengarah syarikat kerugian RM167,050 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pinjaman tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 36 tahun itu pada semalam, berhubung penipuan pinjaman yang dipercayai diiklankan menerusi Facebook menggunakan nama sebuah bank terkemuka.
Beliau berkata kejadian bermula pada 21 Mei lepas apabila mangsa tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang menawarkan kelulusan pantas.
“Suspek kemudian meminta mangsa membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan proses dan kelulusan pinjaman.
“Mangsa telah melakukan sembilan transaksi pindahan wang ke dalam sembilan akaun berbeza secara berperingkat untuk mendapatkan jumlah pinjaman yang dipersetujui, iaitu sebanyak RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal menerima pinjaman seperti dijanjikan sebelum membuat laporan polis semalam.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


