Bekas pemain bola sepak, pakar motivasi ‘Datuk’ antara dicekup Ops Luxury JPJ

STATUS selebriti dan gelaran Datuk bukan tiket kebal apabila dua individu terkenal termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan dikenakan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas kenderaan mewah mereka disita dalam Ops Luxury di sekitar Lembah Klang, semalam.

Bekas pemain bola sepak yang pernah menjulang beberapa kejuaraan Liga Super itu ditahan ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire di sekitar Bukit Bintang kira-kira jam 4 pagi.

Seorang lagi individu dikenali sebagai pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk pula ditahan ketika memandu kereta mewah Mercedes-Benz Brabus AMG di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kedua-dua kenderaan terbabit disita selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tidak memiliki perlindungan insurans.

Menurutnya, Toyota Vellfire milik bekas pemain bola sepak itu turut dikesan menggunakan lesen memandu yang sudah tamat tempoh.

“Semakan mendapati LKM kenderaan itu tamat tempoh sejak 7 Disember tahun lalu dan sudah lima bulan masih belum diperbaharui menyebabkan tindakan sita dilakukan.

“Bagi kes melibatkan pakar motivasi terbabit pula, kenderaan jenis Mercedes-Benz Brabus AMG itu disita kerana cukai jalan tamat tempoh selama sebulan selain tidak mempunyai perlindungan insurans,” katanya pada sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Mengulas lanjut, Jazmanie berkata, siasatan turut mendapati kenderaan milik pakar motivasi berkenaan masih memaparkan nombor pendaftaran lama walaupun pertukaran nombor sudah dilakukan.

“Ia adalah satu kesalahan kerana nombor pendaftaran yang digunakan tidak lagi sah,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan turut mengesan sebuah kenderaan yang gagal memperbaharui LKM sejak 1 Januari 2025.

Katanya, kenderaan paling mahal yang dikesan gagal memperbaharui cukai jalan ialah sebuah Porsche dengan jumlah bayaran mencecah RM16,000.

“JPJ memandang serius isu ketidakpatuhan ini dan akan terus mempergiat penguatkuasaan menerusi operasi berfokus,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img