SYARIKAT teknologi kewangan, Shoraka hari ini mengumumkan pembentukan usaha sama strategik bersama syarikat berpangkalan di Uzbekistan, Raqama Ltd., dalam usaha memperluaskan penyelesaian teknologi kewangan berasaskan prinsip kewangan Islam di rantau Asia Tengah.
Kerjasama itu menggabungkan keupayaan teknologi kewangan menyeluruh milik Shoraka bersama kepakaran serantau serta penguasaan pasaran tempatan oleh Raqama Ltd., sekali gus meletakkan usaha sama berkenaan pada kedudukan strategik untuk mempercepat penggunaan penyelesaian kewangan digital yang selamat, berskala dan patuh Syariah.
Antara fokus utama kerjasama berkenaan termasuk pembangunan penyelesaian kewangan Islam di Uzbekistan menerusi pengenalan produk serta perkhidmatan kewangan patuh Syariah bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shoraka, Datuk Hasnul Ismar Mohd Hasnul Ismail berkata, kerjasama itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kewangan digital yang lebih inklusif dan berasaskan nilai.
“Pengumuman hari ini menandakan satu langkah penting bagi Shoraka yang membolehkan kami terus memperluas usaha menyokong ekosistem kewangan digital yang lebih inklusif dan berasaskan nilai, berlandaskan prinsip kewangan Islam.
“Melalui langkah ini, kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk meneroka penyelesaian teknologi kewangan praktikal yang dapat menyokong minat yang semakin berkembang terhadap kewangan Islam di Uzbekistan dan rantau yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Raqama Ltd., Saidbek Saidkarimov berkata, pihaknya optimis usaha sama itu mampu memperkukuh landskap teknologi kewangan negara berkenaan.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Shoraka dalam membawa penyelesaian kewangan inovatif dan patuh Syariah ke Uzbekistan.
“Usaha sama ini bukan sahaja akan mengukuhkan landskap teknologi kewangan kami, malah turut menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam di pasaran kami,” ujarnya.
Menurutnya, usaha sama berkenaan akan memberi tumpuan kepada inovasi, pematuhan kawal selia serta perkongsian strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan dan impak jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi inklusif menerusi inovasi digital.
Dalam lawatan ke Uzbekistan baru-baru ini, wakil Shoraka turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kementerian Teknologi Digital Republik Uzbekistan, Rustam Karimjanov.
Pertemuan itu membincangkan pembangunan platform kewangan inovatif bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan digital serta meningkatkan penggunaan penyelesaian teknologi yang selamat, cekap dan mesra pengguna untuk perniagaan serta pengguna di negara berkenaan.


