POLIS menahan lima lelaki kerana mengugut dan mencederakan seorang peniaga warga Bangladesh dalam kejadian di tepi jalan berhampiran asrama pekerja sebuah kilang ayam di Serkam, Merlimau pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa berusia 44 tahun sedang berniaga sayur-sayuran dan buah-buahan bersama isteri sebelum kumpulan suspek itu tiba-tiba muncul.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek mempersoalkan tindakan mangsa berniaga di kawasan berkenaan tanpa kebenaran mereka.
Beliau berkata, keadaan menjadi tegang apabila suspek bertindak menampar pipi kiri mangsa selain mengugut supaya tidak lagi berniaga di kawasan itu.
“Suspek turut mengugut mahu membakar premis perniagaan mangsa sekiranya masih melihat dia berniaga di lokasi berkenaan.
“Mangsa yang mengalami kesakitan pada pipi kiri, telinga kiri dan belakang tengkuk tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatannya terancam,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Lee berkata, susulan laporan polis itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menjalankan operasi sebelum menahan lima suspek termasuk dua warga Bangladesh berusia antara 37 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sekitar Jasin pada Ahad lalu.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati seorang suspek tempatan mengaku datang ke lokasi selepas menerima panggilan daripada adik angkatnya yang mendakwa perniagaannya diganggu peniaga warga asing.
“Suspek mendakwa menegur mangsa secara baik. Bagaimanapun berlaku pertikaman lidah sebelum dia bertindak menampar mangsa beberapa kali dan menendang bekas polisterin berisi barangan jualan,” katanya.
Beliau berkata, dua lagi lelaki tempatan mendakwa hanya menyaksikan kejadian dari motosikal yang dinaiki selain merakam insiden itu, manakala dua suspek warga Bangladesh mengaku tidak terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dipercayai digunakan ketika kejadian dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semakan lanjut juga mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.


