Kes tembak Durian Tunggal: Polis rujuk semula kertas siasatan kepada AGC

POLIS merujuk semula kertas siasatan kes tembak yang mengorbankan tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lalu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas melengkapkan beberapa arahan tambahan yang diminta pihak pendakwaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk kira-kira empat kali kepada AGC termasuk versi terbaharu yang dihantar semalam.

Menurut beliau, antara arahan diberikan pihak pendakwaan termasuk melengkapkan beberapa aspek siasatan selain menyambung rakaman percakapan saksi bagi memperjelaskan fakta tertentu dalam kes terbabit.

“Kes Durian Tunggal, kertas siasatan telah dirujuk lebih kurang empat kali kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan telah diberikan untuk melengkapkan siasatan.

“Segala arahan daripada Jabatan Peguam Negara telah diambil tindakan dan kertas siasatan diedarkan semalam untuk arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Beliau berkata, seramai 63 saksi sudah dirakam percakapan sepanjang siasatan dijalankan bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian pada 24 November lalu kira-kira jam 4.30 pagi, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka bertindak melibas parang ke arah seorang anggota polis.

Anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an itu dilaporkan cedera parah pada lengan kiri dalam kejadian berkenaan.

Kes itu kemudian diklasifikasikan semula dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas AGC meneliti laporan serta taklimat polis.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img