PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
Katanya, pengorbanan yang dilakukan hari ini mempunyai harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan punya penekanan dan manifestasi masa hadapan.
‘’ Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga,, ‘’ katanya dalam ucapan sempena Aidiladha esok.
Anwar menegaskan tanpa pengorbanan hidup menjadi tidak bermakna dan gersang nilai.
‘’Sesuatu yang dikorbankan adalah sesuatu yang memang menjadi kemahuan manusia—harta, keluarga dan kedudukan. Oleh dengan itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya, ‘’ kata Perdana Menteri.
Oleh yang demikian tegas Anwar, hikmah menunaikan haji merupakan antara kurniaan terbesar Ilahi kepada hamba-Nya.
‘’Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam. Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri yang bertujuan memadrasahkan jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana,’’ katanya.
Anwar berkata, tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan.
‘’Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira tingkat diri di dalam masyarakat, darjat atau pangkat, lantas membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.
‘’Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita,’’ katanya.


