Redah asap demi selamatkan anak sebelum tingkap bilik meletup

SEORANG ibu sanggup meredah asap untuk menyelamatkan anak bongsunya yang sedang tidur, sebelum tingkap bilik meletup dalam kebakaran rumah di Kampung Padang Mawar, Kok Mak, di Padang Besar petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 petang sewaktu Siti Nur Farhana Keaw, 38, baru sahaja pulang bersama dua anak dengan menaiki motosikal sebelum mendapati api sudah marak di bahagian dalam rumahnya.

SITI Nur Farhana Keaw

Menyedari anak bongsunya berusia tujuh tahun masih di dalam bilik tidur, Nur Farhana nekad masuk menyelamatkan mangsa walaupun ketika itu kediamannya dipenuhi asap tebal.

“Saya masuk tengok dalam bilik dah penuh asap. Saya buka tingkap dan masuk mencari anak saya. Memang saya tak nampak apa dah, cuma gagau-gagau (raba) sampai dapat tangan anak saya.

KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Padang Mawar di Kok Mak, Padang Besar petang tadi. GAMBAR: JBPM Padang Besar

“Saya terus bawa dia keluar ikut tingkap. Dalam lima minit selepas kami keluar, tingkap bilik itu terus meletup,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Akibat kejadian itu, Nur Farhana dan anaknya cedera selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri, manakala semua barangan termasuk dokumen penting gagal diselamatkan kerana api merebak terlalu pantas.

“Kad pengenalan, beg dan barang lain semua tak sempat ambil. Dalam sekelip mata saja habis terbakar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar, Marziadi Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.01 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.

“Anggota menggunakan dua aliran hos dan empat pancutan air daripada tangki jentera bagi mengawal kebakaran,” katanya sambil memberitahu punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img