BRIGED Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 342,000 liter diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM1.8 juta menerusi Ops Tiris yang dijalankan di beberapa lokasi di negeri berkenaan sejak 16 Mac hingga semalam.
Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, dalam operasi itu, pelbagai aset dan peralatan termasuk lori tangki, jentera berat dan tangki skid turut dirampas dengan anggaran nilai hampir RM17.5 juta.
“Hasil operasi itu, Briged Sarawak PGA berjaya merekodkan 58 kes dengan 69 tangkapan. Antara kejayaan utama operasi, termasuk rampasan sebuah bot tunda di Bintulu yang digunakan untuk menyimpan 20,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bak Phai berkata, operasi turut merekodkan rampasan lebih lima tan minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM40,000 serta lebih tujuh tan gula kasar bernilai lebih RM31,000 dengan nilai keseluruhan termasuk rampasan kenderaan hampir RM950,000.
Tambah beliau, operasi yang dilaksanakan secara berterusan itu juga berjaya mengesan pelbagai modus operandi sindiket termasuk penyimpanan, pemindahan dan pengedaran diesel tanpa permit yang dipercayai melibatkan rangkaian penyelewengan barang kawalan di negeri ini.
Katanya lagi, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


