SEORANG pemandu lori ditahan dan direman enam hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana disyaki merogol remaja bawah umur hingga hamil enam bulan selepas penemuan kit ujian kehamilan.
Permohonan reman terhadap suspek berusia 30-an itu dibenarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret di sini hari ini selama enam hari hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kejadian terbabit terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu di beberapa inap desa dan hotel di Ayer Hitam, Batu Pahat sejak tahun lalu.
Kali terakhir kejadian rogol berlaku ke atas mangsa berusia 15 tahun ialah di sebuah hotel pada Disember tahun lalu.
Berikutan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut.


