Bot nelayan tempatan dikesan ceroboh perairan, kru warga asing ditahan

SEBUAH vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas dikesan berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran selain menggaji kru warga asing secara tidak sah.

Vesel itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang kelmarin ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin di kedudukan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Tengah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 46 tahun.

“Semakan mendapati tekong dan seorang kru memiliki dokumen pengenalan diri, namun dua lagi kru gagal mengemukakan sebarang dokumen sah.

“Kesemua mereka juga gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran bekerja di atas vesel berkenaan.

“Hasil perkongsian maklumat daripada Sistem Pemantauan Vesel (VMS) Jabatan Perikanan Malaysia turut mendapati vesel itu berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kru bersama vesel dan hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 500 kilogram kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen termasuk menggaji warga asing tanpa kebenaran selain berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kelulusan.

“Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas dua kru didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan Selangor.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img