Negara Islam perlu pupuk semangat perpaduan, hentikan keganasan berlarutan di Asia Barat – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara Islam perlu memupuk semangat perpaduan dalam usaha menghentikan keganasan dan permusuhan tiada berpenghujung di Asia Barat.

Perdana Menteri turut menggesa politik dunia dipandu aspek kebijaksanaan dan kewarasan, bukannya dipengaruhi sentimen melampau, terutama ketika konflik antarabangsa semakin meruncing kini.

Beliau menekankan bahawa ketegangan geopolitik termasuk konflik di Gaza, selatan Lubnan dan Iran bukan hanya mengorbankan nyawa, tetapi juga menjejaskan kestabilan ekonomi global serta memberi tempias kepada negara lain, termasuk di rantau ini.

“Suasana ini sekali lagi kesannya sampai ke rantau kita. Negara yang mencatat ekonomi baik dan keadaan aman tetapi terjejas sedikit sebanyak lantaran kesan ekonomi tidak menentu.

“Saya aneh dengan masyarakat antarabangsa. Kalau kita mahu berharap Eropah, Amerika Syarikat (AS) untuk meletak semangat demokrasi (dan) keadilan, saya ingat ia sudah pupus sama sekali.

“Sebab yang nyata bila rakyat Gaza dan selatan Lubnan dizalimi, hampir tidak beri kesan… betapa maruah di dunia ini yang berisik (riuh).

“Jadi, sebab itulah saya selalu katakan ini ciri kemunafikan, hipokrasi dunia Barat yang boleh mengizinkan (kezaliman berlaku),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin negara Islam termasuk Presiden Iran, Presiden Pakistan, Presiden Turkiye serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

“Ia bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dunia Islam dalam menghentikan keganasan dan konflik yang berlarutan di Asia Barat,” ujarnya.

Menurutnya, negara akan terus mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img