SEORANG lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Muadzam Shah -Bukit Ibam, berhampiran Masjid Kampung Bangkong di Rompin malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan dilaporkan jam 7.07 malam itu melibatkan Toyota Hilux dinaiki lima lelaki dan Perodua Alza.
Menurutnya, dua mangsa yang menaiki Toyota Hilux tersepit dan salah seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tiga lagi yang berada dalam kenderaan tersebut dan pemandu MPV turut mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Salahuddin berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin yang tiba di lokasi kejadian jam 7.36 malam segera menggerakkan operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.


