EMPAT gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin berjaya dinaikkan semula ke landasan sebelum dibawa ke depot untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut oleh pasukan teknikal.
Rapid KL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, kerja-kerja pemulihan dijalankan sepanjang semalam hingga awal pagi ini membabitkan proses penyambungan (coupling) antara gerabak tren dan kenderaan trek khas bagi membolehkan pergerakan keluar dilakukan secara selamat dan terkawal.
Menurutnya, keempat-empat gerabak yang berjaya dialihkan itu kini berada di depot untuk pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti sebarang kerosakan susulan insiden berkenaan.
“Gerak kerja sedang giat diteruskan demi memastikan perjalanan yang selamat lagi selesa buat penumpang dapat dikembalikan secepat mungkin,” katanya dalam hantaran Facebook.
Terdahulu,sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya Rabu depan.
Beliau turut memaklumkan semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi, namun menggunakan jadual perkhidmatan diubah suai bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja pemulihan.


