KEBIMBANGAN sebuah keluarga yang menyangka seorang lelaki hilang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, Padawan awal pagi tadi bertukar lega apabila individu berkenaan ditemui sedang nyenyak tidur di rumah jiran.
Lelaki terbabit sebelum itu gagal dikesan selepas keluar dari rumah saudaranya untuk membuang air kecil, sekali gus mencetuskan operasi pencarian melibatkan bomba, polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan lelaki berkenaan pada jam 4.39 pagi.
Menurutnya, sepasukan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.14 pagi.
“Hasil maklumat awal mendapati lelaki terbabit yang juga abang ipar kepada pengadu menghadiri majlis perkahwinan di sebuah gereja di kampung berkenaan pada malam sebelumnya.
“Selepas selesai menjamu selera, mangsa dipercayai keluar untuk membuang air kecil kira-kira lapan meter dari rumah saudaranya sebelum gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian segera dijalankan dengan bantuan polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.
Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditemukan sekitar jam 6 pagi oleh penduduk kampung dalam keadaan selamat.
“Mangsa ditemukan sedang nyenyak tidur di sebelah mesin basuh di rumah jirannya.
“Pemeriksaan mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.09 pagi.


