Gelombang pekerjaan baru menjelang 2030: Bersediakah Malaysia?

DUNIA tiba-tiba sedang dilanda fenomena AI dan robot kerana manusia  resah dengan kesan ‘tsunami’ ini kepada manusia. Apa yang pasti situasi cemas makin melanda apabila manusia hilang pekerjaan akibat ledakan teknologi tersebut.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kesan AI, robot dan teknologi lain diunjurkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan menyebabkan 98 juta pekerja seluruh dunia akan hilang pekerjaan, walaupun potensi peluang pekerjaan baru pula akan menawarkan 175 juta menjelang tahun 2030.

Perubahan trend yang mendadak ini dilihat satu keadaan luar biasa iaitu satu situasi pengisian peluang pekerjaan baru bergerak perlahan berbanding kehilangan pekerjaan sehingga tahun 2030.

Semua ini sangat terkait dengan dunia yang semakin ekstrem bergerak ke hadapan iaitu faktor ketegangan politik, pemanasan global (climate change), ekonomi yang tidak menentu dan gelombang dominasi teknologi kepada manusia.

Secara ringkas dan pentingnya pula, WEF meramalkan hanya 5 bidang pekerjaan yang akan menjadi pilihan utama menjelang tahun 2030 iaitu empat tahun dari sekarang. Bidang-bidang tersebut adalah :

  1. Pekerja Ladang dan Buruh Pertanian
  2. Pemandu Lori Ringan atau Perkhidmatan Penghantaran
  3. Pembangun Perisian dan Aplikasi
  4. Pekerja Pembinaan
  5. Jurujual Kedai (Shop Salespersons)

Persoalannya sekarang ialah apakah negara kita bersedia untuk menyediakan tenaga kerja yang diramalkan ini secara drastik kerana ianya semakin berlaku dalam tempoh 4 tahun akan datang?

Pada dasarnya, ramai pakar berpengalaman termasuk saya  bukan sahaja sudah meramalkannya 20 tahun lalu tetapi juga melaksanakan usaha ke arah itu tetapi dalam konteks Malaysia, ketidakstabilan politik untuk tempoh 15 tahun lalu telah mengganggu-gugat perancangan hebat negara akibat pelbagai tekanan dan perubahan  saya anggap tidak perlu setelah kepimpinan negara asyik berubah.

Secara jujur saya katakan, hari ini hala tuju pembangunan modal insan kita sudah semakin cacar-marba, hilang fokus dan terkial-kial untuk mempertingkatkan kesiap siagaan kita menghadapi perubahan yang sangat pantas menuju masa depan yang sangat ekstrem. Selain berpolitik 24 jam, sesetengah pemimpin masih kabur tentang apa yang sepatutnya dibuat segera kerana tiada pengalaman dan latar pendidikan berkaitan untuk melakukan reformasi sebenar.

Lebih memualkan ada yang hanya mampu menghidangkan budaya populis politik seperti gaya trending pelajar sekolah ‘six-seven’ yang seolah-oleh membayangkan tahap kredibiliti mereka yang tidak layak bergelar menteri.

Itulah sebabnya juga kita jarang melihat kenyataan media mereka lagi kebelakangan ini kerana setiap kali membuka mulut, serangan netizen ibarat peluru bertali arus membedal mereka. Jenuhlah Ketua Pengarah pula kena membuat semua pengumuman.

Dalam masa yang singkat ini, kita perlu melipat kali gandakan usaha memberi penerangan dan kesedaran supaya rakyat dapat menerima hakikat serta bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan masa depan yang sangat mencabar ini.

Selepas kesedaran, gerak kerja mengisi keperluan ke arah gelombang pekerjaan ini juga perlu dilakukan segera melalui kombinasi tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan rakyat. Penyelarasan dan ketepatan gerak kerja untuk memenuhi permintaan dan penawaran pekerjaan adalah sangat perlu.

Sebaliknya, dalam kes yang saya lalui iaitu pertanian dan perladangan, usahkan cerita tahun 2030, cara bekerja hari ini pun masih berterabur, jauh sekali untuk mempersiapkan peluang dan cara pekerjaan akan datang.

Penyelarasan latihan TVET keterjaminan makanan  contohnya, masih lagi bersifat mahun membina struktur asas penyelarasan, sedangkan kita sepatutnya sudah lama melaksanakan usaha meningkatkan kuantiti dan kualiti latihan, keberhasilan pelajar/graduan sebenar dan cara bekerja yang baru di peringkat kerajaan, khususnya.

Dalam persoalan perladangan, apa yang dicanang kerajaan tentang TVET perladangan dan keperluan mengisi pekerja tempatan tidak disambut dengan baik oleh majikan termasuk ladang-ladang bertaraf GLC sendiri.

Saya  sudah hampir setahun gagal melaksanakan usahasama antara kementerian berkaitan dan syarikat perladangan kerana dasar yang dibuat tidak menepati kehendak industri dan cara latihan sebenar yang kami berpengalaman pernah lakukan dan membuktikan model kejayaan.

Saya masih sukar mendapat akses temujanji dengan menteri berkaitan walaupun  perkongsian pengalaman luas kami ini sepatutnya dimanfaat menteri dan pegawai kementerian tersebut.

Malah  apa yang kita lihat tidak ubah seperti gerak kerja politik yang diadaptasikan di kementerian yang jenama skuadnya pun hampir sama dengan sayap wanita parti politik. Apakah itu semua menjadi kunci kejayaan membangunkan gelombang pantas pekerjaan dalam sektor pertanian dan perladangan yang menjadi cabaran utama ekonomi  dunia hari ini dan masa depan ?

Sindrom melaporkan keberhasilan graduan sehingga 95 peratus menjadi trending kini yang kadangkala kita tahu realitinya. Tiada rasa bersalah dalam diri bila mereka sebenarnya mengelirukan rakyat seolah-olah kualiti keberhasilan sehingga 95 peratus, walhal kemenjadian graduan dalam bidang yang dilatih tidak sampai pun 20 peratus. Hasilnya bos akan membuat keputusan yang salah.

Itulah antara penyakit turun-temurun yang saya saksikan sejak saya menjadi ahli majlis penasihat dan rakan strategik beberapa agensi kerajaan sejak  20 tahun lalu. Laporan yang indah-indah bagai di kayangan kerana mahu menyimpan sesuatu di bawah karpet.

Menuju masa depan, selain membina asuhan di peringkat sekolah, pekerja sedia ada memerlukan pemerkasaan baru iaitu latihan semula (re-skilling), penambahbaikan latihan (up-skilling) dan rentas kemahiran (cross-skilling). Mereka pelu diberi penerangan dan kesedaran berkesan untuk menerima hakikat gelombang pekerjaan yang perlu diterima dan disesuaikan menjelang tahun 2030.

 

Sistem latihan perladangan penulis berjaya menarik minat belia Sabah membangunkan industri sawit.

Kemahiran di sekolah, pusat kemahiran hinggalah ke universiti memerlukan modul, kurikulum dan pendekatan membentuk pemikiran (mindset), ilmu serta kemahiran  bertepatan dengan permintaan gelombang pekerjaan sejagat. Jatidiri mereka tidak boleh menghalang keberanian mereka untuk mencabar diri menakluki alam sebagai pekerja tanpa sempadan untuk mendapat kepuasan bekerja pada masa depan.

Matlamat pekerjaan bukan lagi sebagai satu prestij berasaskan sijil dan ijazah semata-mata tetapi bagaimana menjadikan pekerjaan sebagai satu kerjaya yang menjadi teras penjanaan pendapatan serta pembinaan kehidupan yang baik untuk menghadapi cabaran yang sangat ektrem masa depan. Pekerjaan generasi baru bukanlah berorientasikan makan gaji semata-mata tetapi juga bidang berpendapatan tinggi seperti keusahawanan sebagai antara pilihan kerjaya.

Kekangan belanjawan akibat krisis global yang disebut-sebut oleh pemimpin negara hari ini tidak boleh menghalang kita untuk melakukan persediaan yang semakin singkat ini. Saya telah mengemukakan kepada kerajaan model sinergi awam dan swasta kepada beberapa agensi seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain yang bersifat CEKAP, CEPAT, JIMAT DAN BERKESAN melalui pengalaman lebih 30 tahun dalam mebangunkan TVET dan sumber manusia.

Persoalan sekarang apakah kita oleh mengurangkan politiking, melakukan revolusi struktur dan mengubah cara bekerja untuk menghadapi gelombang pantas pekerjaan baru pada masa hadapan yang semakin hampir?

Alhamdulillah, daripada 5 pekerjaan 2030 yang diunjurkan oleh WEF itu, saya berjaya mengisi 3 bidang kepada anak-anak saya hari ini iaitu pertanian, pembangunan perisian dan jurujual runcit walaupun mereka mahir dan  berkelulusan universiti. Ada yang bekerja di Malaysia dan di luar negara. Keberhasilan yang mendahului zaman ini adalah hasil kerja istiqomah saya dan mengamalkan prinsip ‘BUAT SEPERTI DIKATA’ (Walk The Talk), bukan retorik !

Kepakaran dan pengalaman luas saya sudah disambut negara jiran untuk membawa negara mereka menjadi terbaik di peringkat antarabangsa menempuh cabaran ektrem dunia. Sedangkan penerimaan saya oleh negara saya sendiri masih terkial-kial.

  • Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img