SEORANG wanita terkejut apabila menemukan mayat anak lelakinya dalam keadaan reput dalam sebuah bilik berkunci di Kampung Dalam Rhu di Tumpat, petang semalam.
Wanita itu menemukan mayat anaknya yang berusia 35 tahun kira-kira jam 6.27 petang sebelum segera menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, sebaik sahaja menerima aduan itu, sepasukan anggota dan pegawai polis bergegas ke lokasi kejadian bersama petugas perubatan dari Hospital Tumpat.
“Mayat lelaki terbabit yang juga seorang penganggur ditemukan ibunya di dalam bilik yang berkunci dari dalam.
“Pegawai perubatan mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat bagi tujuan bedah siasat.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan berikutan keadaan mayat yang sudah reput dengan keputusan direkodkan sebagai ‘Unascertained (Decomposed Body)’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan.
Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 7222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


