Dua penunggang maut motosikal bertembung di Felda Ulu Tiram

DUA penunggang motosikal maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Felda Ulu Tebrau–Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, penunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz berusia 22 tahun dan penunggang motosikal Yamaha EZ 115 berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal mendapati penunggang berusia 22 tahun dalam perjalanan dari Pekan Ulu Tiram menuju ke Felda Ulu Tebrau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai cuba memotong sebuah Perodua Myvi yang berada di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan.

“Tindakan itu menyebabkan motosikal berkenaan bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, penunggang Yamaha EZ 115 tercampak ke atas jalan raya manakala penunggang Yamaha Ego Avantiz tercampak ke bahagian hadapan kanan Perodua Myvi berkenaan.

Katanya, pemandu kereta berusia 35 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang motosikal terbabit.

“Kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Wan Siti Norlia Ahmad di talian 013-671 6594 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img