Mayat reput dalam tilam: Mangsa dipercayai rakan suspek

MAYAT reput yang ditemukan dalam balutan tilam dengan tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, Melaka pada Khamis lalu dipercayai rakan kepada suspek yang telah ditahan polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan suspek, sekali gus memberikan perkembangan baharu dalam kes berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat salah faham dan tuduh-menuduh melibatkan keluarga suspek ketika kedua-duanya dipercayai sedang menghisap dadah.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan perlu melalui proses padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan ahli keluarga bagi pengesahan secara saintifik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mayat dipercayai mangsa bunuh yang telah meninggal dunia lebih dua minggu ditemukan dalam balutan tilam dengan tangan diikat di ruang tamu rumah kedai berkenaan.

Kejadian itu disedari pemilik rumah selepas datang membuat pemeriksaan di unit tersebut apabila gagal menghubungi penyewa sejak beberapa hari lalu. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

Dzulkhairi berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden V Somsundram di talian 017-695 4714.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img