Jangan bersandiwara lagi…hubungan Pas-Bersatu hampir pasti berkecai!

HUBUNGAN antara Pas dan Bersatu ketika ini bukan lagi seperti ‘telur di hujung tanduk’ atau ‘retak menanti belah’, sebaliknya ia boleh disifatkan ‘telur itu sudah berkecai’ manakala ‘retak sudah pun terbelah berselerakan’.

Kenyataan tegas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mencadangkan supaya Pas dan Bersatu bergerak berasingan pada PRU-16 adalah isyarat awal hubungan antara kedua-dua parti itu kini sudah berada di penghujungnya. Majlis Syura Ulamak Pas dijangka membuat keputusan rasmi berkaitan kemelut tersebut.

Tidak pastilah bila Majlis Syura akan bermesyuarat tetapi yang pasti hubungan antara Pas dan Bersatu sudah tidak boleh diselamatkan lagi. Kepimpinan Pas mahupun Bersatu tidak perlu bersikap hipokrit dalam soal itu. Mereka tidak harus cuba memperbodohkan penyokong masing-masing kononnya hubungan kedua-dua parti masih boleh diselamatkan.

Ketakutan tidak bertempat dan ‘gangguan mimpi’ berkaitan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin oleh pemimpin parti itu  telah memburukkan lagi hubungan antara Bersatu dan Pas. 

Sebelum ini isu konflik politik di Perlis telah menyebabkan Pas kecewa dengan Bersatu, ia disusuli pula krisis di Negeri Sembilan apabila dua ADUN Bersatu menarik persetujuan untuk menyokong penubuhan kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN). Selepas itu Bersatu dikatakan menentang sebarang usaha untuk membawa masuk parti Hamzah ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Akhirnya dari semasa ke semasa hubungan kedua-dua parti menjadi semakin buruk. Ia ditambah pula dengan ucapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Melaka yang dikatakan ditujukan kepada Pas dalam soal Bersatu dikatakan tidak mempunyai jentera dalam pilihan raya.

Walaupun ada pemimpin Bersatu berkata, kenyataan Mohamed Azmin bukan dituju kepada Pas…itulah boleh dianggap jawapan ‘jahil’…budak Tahun Enam pun tahu siapa dimaksudkan dengan perkataan ‘buta, pekak’.

Hakikatnya hubungan retak antara Pas-Bersatu sudah lama berlaku. ‘Rekahan kecil’ bermula dengan keghairahan Bersatu terus mahu mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri (PM) walaupun Pas menegaskan soal itu dibincangkan selepas PRU-16.

Bagaimanapun Bersatu meneruskan agenda tersebut dalam perhimpunan agungnya dan apabila Pas tetap dengan pendiriannya, ada pemimpin dalam Bersatu mengingatkan kepimpinan parti itu (Bersatu) ‘’jangan biarkan orang luar masuk ke rumah kita dan atur apa kita patut buat’’.

Keadaan menjadi semakin parah apabila Bersatu melakukan ‘pembersihan dalaman’ dengan menggantung dan memecat pemimpin-pemimpin yang dikatakan ‘orang Hamzah’ malah Hamzah sendiri dipecat secara berjemaah pada Februari lalu. Walaupun tindakan itu adalah urusan dalaman Bersatu namun ia mewujudkan kebimbangan kepada pemimpin Pas bahawa ia boleh menjejaskan PN.

Ia memandangkan dalam kalangan yang dipecat atau digantung itu termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedikit sebanyak boleh menggugat peluang PN meraih undi. Rentetan daripada tindak tanduk Bersatu itu ia akhirnya mengundang kenyataan keras Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan parti itu akan mengkaji semula hubungan dengan Bersatu.

Kenyataan Abdul Hadi tersebut sebenarnya telah disuarakan oleh ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi. Mereka sudah lama mahu Pas berbuat demikian kerana Bersatu dilihat cuba menjadi ‘abang besar’ dalam PN biarpun mempunyai kerusi paling kurang berbanding dengan Pas.

Atas sebab itulah penulis percaya hubungan Pas-Bersatu hampir pasti akan berakhir. Jika ia diteruskan juga tindakan itu hanya akan memaparkan ‘wayang politik darjat tertinggi’ antara pemimpin kedua-dua parti. Ia kerana dengan apa yang berlaku termasuklah perkataan ‘’buta dan pekak’ yang berkumandang, pemimpin Pas tidak sepatutnya membiarkan maruah parti itu diperkotak-katikkan oleh Bersatu.

Malah penulis juga percaya walaupun ahli dan penyokong Pas dianggap taat kepada parti mereka namun jika pemimpin Pas terus melakukan percaturan politik tidak bijak, kesabaran merekapun pasti ada had. Mungkin mereka sama sekali tidak mensabotaj parti sendiri tetapi mereka boleh menolak mengundi kesemua calon-calon Bersatu sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN.

Penulis percaya Bersatu sudah bersedia berpisah dengan Pas. Lagipun merekapun tahu Pas lebih cenderung untuk bekerjasama dengan parti Hamzah yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Atas sebab itulah sehingga ke hari ini pemimpin Bersatu terus menyerang Hamzah dengan tujuan membunuh kredibiliti  Ahli Parlimen Larut itu.

Oleh itu cukup-cukuplah mahu bersandiwara kononnya kerjasama antara kedua-dua parti akan terus dipertahankan. Adalah lebih baik jika kedua-dua berpisah dan bertanding secara berasingan. Bertembunglah sesama sendiri dalam pilihan raya untuk membuktikan siapa sebenarnya ‘buta dan pekak’ –

Buta untuk menghormati kawan, pekak untuk memahami realiti bahawa mereka tidaklah sehebat mana hinggakan dalaman parti pun berantakan! Semoga Pas tidak menanggung beban yang akan dibawa oleh Bersatu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img