JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang hari ini melakar sejarah apabila dikurniakan Darjah Bakti oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan pengurniaan itu pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mohd Azizulhasni adalah atlet ketiga negara menerima darjah kebesaran berkenaan selepas legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, yang masing-masing menerimanya pada 2021 dan 2024.
Pengurniaan berprestij itu adalah pengiktirafan tertinggi negara terhadap dedikasi, kecemerlangan dan sumbangan berterusan Mohd Azizulhasni dalam mengangkat martabat sukan berbasikal serta memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.
Darjah Bakti yang diperkenalkan pada 26 Jun 1975 adalah antara darjah kebesaran tertinggi Persekutuan yang dikurniakan kepada individu yang memberikan jasa serta sumbangan luar biasa kepada negara dan pada peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Pengurniaan darjah itu terhad kepada 10 orang sahaja pada satu-satu masa dan ia tidak membawa sebarang gelaran kepada penerimanya.
Azizulhasni, 38, yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan tanah air dan telah mengharumkan nama Malaysia di pentas global selama lebih dua dekad.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu mencipta sejarah apabila muncul juara dunia acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong, selain meraih pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pingat gangsa dalam acara sama pada Olimpik Rio 2016.
Selain kejayaan di Olimpik, ikon sukan berbasikal trek itu turut meraih pelbagai pingat pada temasya Sukan Komanwel, Sukan Asia dan kejohanan antarabangsa lain.
Pada awal Mei lalu, Azizulhasni membuktikan penguasaannya dalam arena berbasikal trek apabila menampilkan aksi kompetitif pada Siri Piala Trek Jepun di Shizuoka dengan merangkul satu pingat perak dan dua gangsa.


