Polis nafi iring kenderaan dipercayai dinaiki warga asing

POLIS menafikan dakwaan bahawa sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pasukan itu mengiringi beberapa kenderaan warga asing seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, hasil semakan mendapati video berkenaan dipercayai disunting dengan menggabungkan dua rakaman yang dirakam di lokasi berbeza sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, rakaman yang memaparkan kenderaan pacuan empat roda polis keluar dari satu simpang sememangnya dirakam berhampiran Masjid Tun Mohd Khalil Yaakub di Tanjung Minyak.

Ketika kejadian katanya, anggota polis terbabit tidak mengiringi mana-mana kenderaan. Sebaliknya, beberapa kenderaan lain kebetulan bergerak keluar pada waktu yang sama.

“Menerusi video itu memaparkan kenderaan warga asing dipercayai dirakam di lokasi lain dan bukannya di Tanjung Minyak seperti yang didakwa menerusi komen dalam video tular itu.

“Sekiranya diteliti, imej dan latar lokasi dalam kedua-dua rakaman itu adalah berbeza,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Beliau berkata, video berkenaan dipercayai disunting dengan menggabungkan dua situasi berlainan sehingga mencetuskan tanggapan yang tidak tepat dalam kalangan orang ramai.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 28 saat di TikTok yang mempersoalkan kehadiran sebuah kenderaan polis bersama beberapa kenderaan yang dipercayai milik warga asing dan didakwa menerima layanan VIP.

Video itu turut memaparkan rakaman beberapa kenderaan dipercayai milik warga asing yang sedang berkumpul di kawasan tanah merah sebelum digabungkan dengan rakaman kenderaan polis yang dirakam di Tanjung Minyak.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img