Video dua kereta dipandu laju, berbahaya sebelum nahas ragut 4 nyawa tular

SATU video rakaman papan pemuka (dashcam) yang tular dalam media sosial memaparkan dua buah kereta dipercayai dipandu laju dan berbahaya sebelum kemalangan membabitkan lima buah kenderaan sehingga mengakibatkan empat maut, petang ini.

Video berdurasi 1.01 saat itu mula tular dalam tempoh beberapa minit sejurus kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, berhadapan penjara Simpang Renggam di Kluang.

Video itu dipercayai dirakam oleh pengguna kenderaan yang bergerak dari arah sama dengan kedua-dua kereta terbabit.

Menerusi rakaman video itu, dua buah kereta terbabit dilihat memecut termasuk sebuah daripadanya memotong di garisan berkembar.

Tidak lama kemudian, sebuah daripada kereta terbabit berhenti di tepi manakala sebuah lagi terbabas selepas berlaku kemalangan.

Susulan penularan video itu, rata-rata netizen mengecam pemandu kedua-dua kereta itu dan memohon agar pihak berkuasa mengenakan tindakan sewajarnya terhadap mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang tadi, empat mangsa yang menaiki Toyota Vios maut dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan.

Keempat-empat mangsa yang maut ialah Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33; Semek Mat Soh, 73, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Selain Toyota Vios, nahas turut membabitkan empat lagi kenderaan iaitu Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes Benz dan BMW.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img