SEORANG warga emas dari Felda Palong Tiga yang hilang sejak petang semalam masih belum ditemukan sehingga hari ini.
Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba (TPgB ) Jefri Jamal berkata, Abdullah Alias, 78, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas masuk ke dalam kebun sawit sejak petang semalam.
Menurutnya, motosikal ditunggang lelaki itu ditemukan dalam kebun sawit berkenaan oleh pasukan mencari dan orang awam.
“Pada jam 10.30 pagi ini, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) memohon bantuan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) untuk ke lokasi kejadian sebelum operasi mencari dijalankan dalam kebun sawit milik mangsa seluas empat hektar.
“Selain STORM pasukan mencari turut membabitkan polis, pasukan bomba sukarela dan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jefri, Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka di lokasi kejadian pada jam 12.10 tengah hari tadi dengan operasi pencarian dibahagi kepada empat kumpulan dan bergerak di sekitar kebun sawit berkenaan.
“Pada jam 12.57 tengah hari, pasukan anjing pengesan (K9) polis tiba di lokasi bagi membantu operasi mencari mangsa,” katanya lagi.
Menurut beliau, operasi mencari yang turut dibantu penduduk kampung ditangguhkan pada jam 6 petang tadi dan disambung semula pagi esok.


