Khidmat komuniti Orang Asli bantu SAR kesan Jaslinda mulai esok

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 23 Mei lalu akan dibantu komuniti penduduk Kampung Orang Asli Ampang Woh bermula esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, komuniti Orang Asli itu akan membantu secara sukarela operasi SAR selepas pencarian selama lapan hari menemui jalan buntu.

Menurut beliau, mereka menawarkan khidmat bantuan itu hari ini melibatkan kekuatan 22 orang dengan memfokuskan pencarian luar daripada trek mendaki.

Katanya, fokus diberikan pasukan SAR adalah antara kawasan Kem Sukaneka dan Gunung Rayu yang dipercayai menjadi laluan Jaslinda.

Tambah beliau, pasukan SAR sedia ada terutamanya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 sememangnya terdiri daripada etnik Orang Asli yang mahir dan pakar dengan keadaan hutan setempat.

“Seperti di PGA Bidor ini, anggotanya sendiri terdiri daripada unit khas Senoi Praaq di mana mereka turut dihantar dan diturunkan di lokasi pencarian mangsa. Kita sebelum ini merasakan cukup dengan PGA yang mempunyai kepakaran itu.

“Juga, sebelum ini kita memerlukan kepastian terlebih dahulu mengenai pergerakan mangsa, yang mana sesudah ia dikenal pasti maka barulah kawasan pencarian disempitkan.

“Namun sekarang bila kita menerima tawaran daripada komuniti Orang Asli setempat itu sendiri yang sukarela bergabung dengan kami maka, kami tiada halangan tambahan pula sebab kita tahu kesukaran yang ada situ,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi SAR Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 PGA Bidor, dekat Tapah hari ini.

Menurutnya, kehadiran binatang buas dipercayai harimau kumbang di sekitar kawasan lokasi pencarian menjadi risiko tambahan bukan sahaja kepada mangsa hilang malah kepada anggota SAR, namun risiko itu dapat dineutralkan dengan kehadiran anggota PGA.

“Jadi hari ini kita mula turunkan (dari helikopter) anggota PGA bersama-sama anggota SAR lain dengan harapan mereka akan saling membantu sekiranya ada ancaman daripada binatang liar,” katanya.

Katanya lagi, SAR yang memasuki hari kelapan hari ini membabitkan kira-kira 153 keanggotaan meliputi pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Malim Gunung Perhutanan (MGP), PGA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain sejak hari pertama SAR bermula pada 25 Mei lalu.

Menurut Sayani, sepanjang tempoh itu terdapat lima anggota JBPM yang mengalami kecederaan ringan seperti terseliuh dan kecederaan lutut dalam usaha mengesan mangsa.

Beliau berkata, anggota SAR turut berhadapan dengan masalah komunikasi untuk mengemaskini perkembangan terkini status pencarian mangsa disebabkan terdapat kawasan pencarian yang liputannya tidak dapat dicapai melalui penggunaan radio amatur.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img