SEORANG lelaki cedera di kepala, bahu dan siku selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang di kawasan taman perumahan di Kuala Ketil, di Baling pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi apabila mangsa didatangi dua suspek lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna perak.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 pagi berkaitan kejadian samun berkumpulan dengan senjata.
Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek masing-masing bersenjatakan parang dan melakukan samun terhadap mangsa.
“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu serta siku dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Brandon berkata, mangsa turut mengalami kerugian wang tunai serta barangan peribadi akibat kejadian samun itu.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.
Beliau berkata, polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian ini dan siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.


