GERAKAN mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 23 Mei lalu, menggunakan operasi udara berdepan cabaran besar melibatkan faktor cuaca dan muka bumi.
Antara halangan yang menanti kru helikopter penyelamat adalah situasi angin lembah yang tidak menentu, keadaan hutan tebal serta ruang pendaratan yang terhad.
Timbalan Penguasa Bomba II Kapten Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, faktor persekitaran tersebut menyukarkan pesawat untuk kekal stabil, sekali gus memberi risiko tinggi ketika melaksanakan teknik winching bagi menurunkan anggota penyelamat ke lokasi pencarian.
Beliau yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat MI-17 itu berkata, setakat ini hanya satu lokasi dikenal pasti sesuai untuk operasi winching iaitu di kawasan Kem Sukaneka, yang dipercayai paling hampir dengan lokasi laluan mangsa.
“Operasi winching biasanya dilakukan pada ketinggian minimum antara 50 kaki dari puncak kanopi hutan tebal bagi mengelakkan risiko terkena pokok.
“Kalau kawasan lapang, kita boleh lakukan pada ketinggian lebih tinggi, tetapi dalam hutan tebal seperti ini, kita perlu berada serendah mungkin untuk memastikan ketepatan penurunan anggota.
“Namun, semakin rendah kita berada, semakin besar cabaran terutama dari segi kestabilan pesawat dan kesan angin yang kuat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) di Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di Tapah semalam.
Mohd Hasrizal berkata, ketiadaan penanda seperti bendera atau sebarang isyarat visual di kawasan berkenaan menyukarkan kru udara mengenal pasti kedudukan tepat pasukan di darat, terutama pada peringkat awal operasi.
“Dalam keadaan hutan tebal, pencarian dari udara memang mencabar. Tanpa sebarang isyarat kecemasan, kita bergantung sepenuhnya kepada koordinat dan pergerakan pasukan di darat.
“Apabila awan rendah melalui kawasan bukit, ia turut menutup pandangan dan menyukarkan kami mencari titik sesuai untuk operasi,” katanya.
Mohd Hasrizal yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai juruterbang bomba berkata, dalam operasi SAR ini, seramai 32 anggota pasukan penyelamat berjaya diturunkan.
Jelasnya, tempoh bagi setiap proses winching perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan peralatan hoist menjadi terlalu panas atau berisiko mengalami kerosakan teknikal.
“Setiap penurunan anggota mengambil masa sekitar satu hingga dua minit, bergantung kepada situasi dan kecekapan kru.
“Jika terlalu lama, peralatan boleh menjadi panas dan berisiko untuk jammed,” katanya yang pernah mengendalikan pesawat bagi misi SAR di Gunung Yong Yap pada 2023 dan tiga operasi menyelamat di Gunung Tahan, Pahang.
Mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.


