POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menyembur cecair pemedih mata kepada sepasang suami isteri di hadapan sebuah restoran di Garden Avenue, Seremban 2, di Seremban petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, suspek yang berusia 50 tahun ditahan susulan kejadian kira-kira jam 6 petang itu bagi membantu siasatan.
“Kejadian berlaku apabila mangsa bersama suaminya berada di hadapan pasar raya Family Store Seremban 2 menaiki sebuah kereta Perodua Bezza sebelum mendapati sebuah kereta jenis Honda Accord mengekori mereka.
“Sebaik sahaja tiba di hadapan sebuah restoran makanan Cina, suspek dikatakan menghalang kereta dinaiki mangsa secara mengejut sebelum seorang lelaki tidak dikenali keluar dari Honda Accord itu dan cuba melakukan provokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Yatim, suspek kemudian dikatakan membuka pintu belakang keretanya dan mengambil sesuatu objek yang tidak dapat dikenal pasti.
“Lelaki itu kemudian dipercayai menyembur cecair jenis pemedih mata ke arah mangsa dan suaminya.
“Wanita itu juga sempat merakam kejadian dan mendakwa tidak mengetahui sebab lelaki berkenaan bertindak demikian terhadap dia dan suaminya,” katanya.
Beliau berkata, pasangan terbabit mengalami pedih dan kegatalan pada mata sebelum tampil membuat laporan polis.
“Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban menahan suspek di hadapan rumahnya di Seremban kira-kira jam 11.45 malam tadi.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini,” katanya.


