KETUA kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terbabit antara 2024 hingga tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas tertuduh Ramesh Govindarajan, 37, dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat Kampung Sungai Division dalam Daerah Kuala Muda, Kedah antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam S Shatish.
Pendakwaan kemudian memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sungai Petani, berikutan kes berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut dibicarakan di mahkamah berkenaan.
Pada masa sama, peguam mewakili tertuduh turut meminta anak guamnya ditahan di Penjara Alor Setar bagi memudahkan ahli keluarga melawatnya.
Sharmila kemudian membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar dan tertuduh diperintah ditahan di Alor Setar.
Pada 25 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan memaklumkan berjaya menahan lelaki yang juga ketua kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames yang aktif di kawasan SG Division, Sungai Petani, Kedah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek ditahan dalam Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Menurutnya, suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain mempunyai Notis Merah Interpol.
Pada 30 Disember tahun lalu, seramai 20 ahli ‘Geng Rames’ yang aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di alamat Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda, Kedah, antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.


