Biodiesel B15 perkukuh keselamatan tenaga negara

PELAKSANAAN biodiesel B15 yang bermula secara rasmi pada 1 Jun lalu bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah menjadi langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu dilaksanakan ketika pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik dan gangguan bekalan.

“B15 adalah antara langkah penting yang dibincangkan kerajaan untuk memastikan keselamatan bekalan tenaga ketika berdepan krisis, selain menyediakan sumber alternatif kepada diesel konvensional,” katanya selepas Lawatan Media ke Terminal Pengedaran Biodiesel di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan B15 turut menyokong agenda kelestarian negara menerusi penggunaan tenaga yang lebih mampan di samping mengukuhkan pembangunan sektor biobahan api tempatan.

Dalam aspek prestasi enjin pula, Noraini memberi jaminan penggunaan biodiesel tidak menjejaskan prestasi kenderaan memandangkan teknologi berkenaan telah digunakan sejak pelaksanaan biodiesel secara berperingkat melalui B7, B10 dan B12, dan kini diteruskan kepada B15

“Tiada masalah kepada enjin. Sebab itu kita galakkan penggunaannya. Apa yang penting sekarang ialah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai manfaat biodiesel,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan B15 dijangka menggunakan kira-kira 801,000 tan metrik minyak sawit mentah (CPO) setahun tanpa menjejaskan pasaran eksport negara.

Menurutnya, Malaysia mempunyai ekosistem biodiesel yang lengkap melibatkan 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan minyak sawit, 19 loji biodiesel dan 34 depoh pengadunan biodiesel di seluruh negara.

Katanya, infrastruktur itu membolehkan pelaksanaan B15 dilaksanakan secara berperingkat dan terancang bagi memastikan bekalan bahan api kepada pengguna kekal lancar.

“Kita menggalakkan pengguna kenderaan diesel beralih kepada biodiesel yang lebih mesra alam selaras dengan komitmen negara terhadap agenda tenaga hijau dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img