Bekas ketua komunikasi korporat kementerian bebas tuduhan rasuah RM5,268

BEKAS ketua komunikasi korporat sebuah kementerian dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,268 selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima representasinya dan beliau membayar kompaun yang ditawarkan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh selepas pegawai pendakwa, A Selvam, memaklumkan mahkamah bahawa Nur Fazreen Kamal, 45, telah ditawarkan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketika pengurusan kes, Selvam berkata SPRM menerima representasi tertuduh pada 7 Mei dan kompaun telah dibayar pada 12 Mei, namun jumlahnya tidak didedahkan.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan utama di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.

Peguam bela, T Sivaranjeni, kemudian memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan sepenuhnya atas alasan kompaun tersebut telah dibayar.

Fazreen, yang sebelum ini mengetuai unit komunikasi korporat di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, didakwa pada 27 Ogos tahun lalu.

Beliau dituduh menerima RM5,268 daripada wakil syarikat Tulip Event Exhibition Enterprise melalui pindahan wang ke akaun banknya pada 11 Mei 2023.

Bayaran itu didakwa sebagai ganjaran kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan kelulusan bagi penyewaan peralatan bernilai RM49,950 untuk pameran Trenchless Asia 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Pertuduhan alternatif pula menyatakan bahawa beliau menerima wang tersebut dengan mengetahui bahawa bayaran itu dibuat berkaitan dengan tugas rasminya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img