Tarif semasa 10% dikenakan AS ke atas Malaysia hanya langkah sementara  – Johari

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tarif semasa sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia hanyalah langkah sementara dan akan tamat tempoh selepas 150 hari.

Selain itu, beliau berkata struktur tarif baharu akan ditentukan berdasarkan rundingan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjelaskan pendedahan Malaysia tertumpu kepada dua isu utama iaitu kapasiti akses pasaran dan isu buruh paksa, manakala kebimbangan berkaitan alam sekitar serta subsidi kerajaan tidak terpakai kepada Malaysia.

“Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa, namun isu ini timbul kerana terdapat barangan yang diimport dari negara ketiga dan kita tidak mempunyai mekanisme untuk mengesahkan sama ada buruh paksa terlibat dalam pengeluarannya,” katanya lapor New Straits Times.

Susulan itu, AS telah mencadangkan tarif sebanyak 10 peratus yang dikaitkan dengan kebimbangan terhadap isu buruh paksa.

Johari menjelaskan bahawa kadar tarif muktamad akan bergantung kepada hasil rundingan mengenai akses pasaran, yang akan menentukan sama ada kadar keseluruhan kekal pada 10 peratus atau meningkat lebih tinggi.

Pada Selasa, AS mencadangkan pengenaan duti tambahan sebanyak 10 peratus atau 12.5 peratus ke atas import dari 60 ekonomi termasuk Malaysia.

Cadangan itu dibuat susulan semakan oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) terhadap usaha negara-negara berkenaan dalam membendung perdagangan barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa.

Di bawah cadangan itu, Malaysia berada dalam kumpulan ekonomi yang berdepan tarif 10 peratus, manakala 45 ekonomi lain mungkin dikenakan tarif 12.5 peratus.

Johari berkata, tarif 10 peratus yang dicadangkan itu bukanlah cukai tambahan di atas tarif sementara yang sedang dibayar ketika ini.

“Bukan tambahan kepada apa yang kita bayar sekarang. Tarif 10 peratus itu adalah di bawah langkah sementara. Pandangan saya mudah. Semua ini hanya kurang menguntungkan pihak yang mengeksport ke AS.

“Jadi, prospek penurunan tarif daripada 19 peratus kepada 10 peratus adalah lebih baik berbanding sebelum ini. Apabila tarif 10 peratus yang kita bayar dalam tempoh 150 hari itu tamat, tarif 10 peratus baharu ini akan menggantikannya,” katanya.

Johari berkata, Malaysia sedang berunding dengan pihak berkuasa AS untuk membentangkan pendirian negara, walaupun Malaysia ketika ini tidak mempunyai perundangan yang meliputi amalan buruh paksa di negara ketiga.

Beliau berkata, kesan utama akan dirasai oleh pengeksport yang menghantar barangan ke AS kerana tarif yang lebih tinggi boleh meningkatkan harga produk dan seterusnya mengurangkan permintaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan semasa masih lebih baik berbanding tarif 19 peratus yang diumumkan sebelum ini kerana pengurangan kepada 10 peratus dapat mengurangkan tekanan terhadap pengeksport Malaysia.

“Apabila kita mengeksport ke AS, tarif itu akhirnya dibayar oleh pengguna di sana. Jika produk menjadi lebih mahal, jumlah pesanan mungkin berkurangan. Namun, produk keperluan asas akan terus dijual,” katanya.

Beliau menambah bahawa cadangan itu masih dalam peringkat pertimbangan dan keputusan akhir bergantung kepada hasil perbincangan Malaysia dengan AS.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img