Kerjasama strategik dua kementerian bantu bakal pesara,veteran ATM dapat pekerjaan

HAMPIR  3,208 peluang pekerjaan disediakan kepada anggota dan veteran Angkatan Tentera (ATM) menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata peluang pekerjaan itu ditawarkan menerusi agensi dan syarikat bawah kementeriannya melibatkan sektor pelabuhan, logistik, pengangkutan bas dan industri rel.

Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu anggota dan veteran ATM membina kerjaya baharu selepas tamat perkhidmatan ketenteraan.

“Kerjasama antara MOT dan Mindef mempunyai makna cukup istimewa kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan memastikan setiap anggota dan veteran ATM yang telah berkhidmat kepada negara mempunyai peluang untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara selepas tamat perkhidmatan mereka.

“Mereka mempunyai disiplin, integriti, daya tahan dan pengalaman bekerja dalam persekitaran yang menuntut tahap pematuhan serta keselamatan yang tinggi. Semua nilai ini amat diperlukan dalam sektor pengangkutan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan Dalam Memperkasa TVET di Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Perhebat, Datuk Amir Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) Nurul Adilah Abd Wahid berkaitan pendidikan dan latihan TVET.

Loke berkata, kejayaan TVET bukan sekadar menyediakan latihan, tetapi memastikan kemahiran yang diperoleh diterjemahkan kepada pekerjaan sebenar, pendapatan stabil dan masa depan lebih baik kepada rakyat.

Pada sidang media selepas itu, beliau berkata,  kerajaan mempermudah proses pertukaran lesen pemanduan tentera kepada lesen pemanduan awam bagi memudahkan veteran ATM memasuki sektor pengangkutan selepas bersara.

“Dalam angkatan tentera mereka mempunyai lesen sendiri bawah ATM untuk membawa trak, kenderaan berat dan pelbagai aset pengangkutan, tetapi lesen itu tidak berada dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Apabila mereka bersara, lesen tentera itu tidak lagi boleh digunakan untuk sektor awam. Sebelum ini proses pertukaran dibenarkan tetapi perlu melalui beberapa proses tertentu. Jadi kita permudahkan proses itu dan ia dibuat tanpa kos,” katanya.

Loke berkata, proses pertukaran lesen itu akan dilaksanakan secara automatik bagi peserta bawah program Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

“Perhebat menjadi platform untuk memadankan anggota tentera dengan industri, manakala JPJ hanya memudah cara pemberian lesen,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerjasama antara dua kementerian itu amat penting dalam membantu bakal pesara ATM mendapatkan pekerjaan dan meneruskan kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

Katanya, kira-kira 5,000 anggota tentera bersara setiap tahun, dengan lebih 4,000 daripadanya berumur sekitar 39 tahun ke atas dan masih mempunyai tanggungan keluarga.

“Rugi sekiranya mereka tidak bekerja atau menceburkan diri dalam aktiviti ekonomi sedangkan negara memerlukan tenaga kerja mahir dan berpengalaman,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini Perhebat menyediakan latihan yang tidak semestinya selari dengan keperluan industri menyebabkan ada veteran sukar memperoleh pekerjaan sesuai selepas tamat latihan.

Katanya, pendekatan baharu kini memberi fokus kepada kerjasama terus dengan industri supaya anggota tentera boleh disalurkan kepada latihan dan pekerjaan yang memenuhi permintaan semasa pasaran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img