TUJUH lelaki warga Myanmar yang dipercayai sedang menunggu kenderaan pengangkut di bahu jalan berhampiran Plaza Tol Jitra (Utara) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam operasi khas tengah malam tadi.
Kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Kedah hasil risikan serta pemantauan yang dijalankan di lokasi berkenaan.
JIM Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan mendapati kesemua lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai penguat kuasa.
“Siasatan awal mendapati mereka berada di kawasan berkenaan dipercayai bagi menunggu kenderaan yang akan membawa mereka ke destinasi tertentu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
“Kesemua tangkapan kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan-peraturan berkaitan,” menurut kenyataan itu.
JIM Kedah turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti modus operandi pergerakan kumpulan berkenaan termasuk kemungkinan mereka baru memasuki negara ini atau sedang dalam proses untuk keluar melalui laluan yang tidak sah.
Selain itu, siasatan turut tertumpu kepada usaha mengesan individu atau sindiket yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam menguruskan pergerakan warga asing terbabit.
Menurut JIM Kedah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“JIM Kedah akan terus mempergiatkan aktiviti risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kemasukan, pergerakan serta aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.


