Fahmi nafi sesi fotografi Jemaah Menteri tular ada kaitan pembubaran Parlimen

SPEKULASI kononnya Parlimen bakal dibubarkan susulan sesi fotografi rasmi Jemaah Menteri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditepis apabila kerajaan menjelaskan ia sekadar urusan rasmi susulan rombakan Kabinet yang dibuat sebelum ini.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sesi fotografi berkenaan diadakan susulan pelantikan beberapa anggota baharu dalam Jemaah Menteri selepas rombakan Kabinet pada Disember lalu.

Menurutnya, sehingga kini belum ada peluang untuk mengadakan sesi bergambar rasmi melibatkan keseluruhan barisan Jemaah Menteri selepas rombakan tersebut.

“Perdana Menteri ada memaklumkan bahawa memang ada hasrat untuk mengambil gambar rasmi Jemaah Menteri kerana terdapat anggota baharu yang dilantik selepas rombakan Kabinet sebelum ini.

“Sebelum ini juga pernah diadakan sesi bergambar rasmi dengan konfigurasi Jemaah Menteri yang terdahulu, jadi perkara ini adalah amalan biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan pembubaran Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial berhubung sesi fotografi Perdana Menteri bersama anggota Kabinet.

Fahmi menjelaskan, sesi berkenaan turut mengambil kesempatan daripada kehadiran anggota Kabinet ke Putrajaya sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyaksikan mereka mengenakan pakaian istiadat rasmi.

“Jabatan Perdana Menteri berpendapat hari ini adalah masa yang sesuai untuk mengambil gambar rasmi tersebut kerana semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan pakaian nombor satu.

“Jadi tidak timbul sebarang isu atau petanda kepada pembubaran Parlimen. Ia sekadar satu urusan rasmi yang lazim dilakukan,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img