‘’Kami rindu zaman itu’’ – kata usahawan

SAYA  bersyukur kerana mempunyai jaringan usahawan yang ramai di seluruh negara, khususnya anak didik saya yang dilahirkan dan diasuh melalui program keusahawanan saya sejak sekian lama.

Minat mendalam dalam perniagaan sosial, membolehkan saya berkawan rapat dengan komuniti usahawan pelbagai kaum di Malaysia dan antarabangsa.

Hubungan baik ini, memudahkan saya untuk membuat kajian dan tinjauan tentang situasi ekonomi semasa. Kadangkala saya turut menyelit sedikit ‘soalan-soalan nakal’ untuk menjolok pandangan dan trend sokongan rakyat terhadap kerajaan serta tanggapan terhadap suasana politik semasa.

Meninjau keluhan peniaga yang pernah menyertai program keusahawanan penulis tentang kenaikan harga barang bahan mentah dan bekas makanan plastik sejak krisis Asia Barat melanda.

Pada waktu kegawatan akibat krisis ekonomi global masa kini dan bahang pilihanraya yang semakin hampir, saya berusaha untuk  mencuri masa bagi bertanya khabar dan membincangkan isu semasa terutama ekonomi dan mood politik dengan usahawan-usahawan saya di seluruh negara.

Secara umumnya hari ini, rata-rata mereka   merasa resah dan perit berbanding 10 atau 15 tahun dahulu. Kebanyakannya kecewa apabila melihat persekitaran perniagaan hari ini semakin tidak meyakinkan sehingga mereka hampir putus asa.

Namun jiwa kental sesetengah usahawan membolehkan mereka masih terus berusaha dan bertawakal supaya pada masa depan ada sinar di hujung perjuangan.

Bagi seorang usahawan tani wanita yang saya panggil  Ida menceritakan bagaimana beliau yang pernah mengusahakan ladang sayur seluas 50 ekar bersama suaminya lebih kurang 15 tahun  lalu.

 Kini mereka hanya mengusahakan sawah kecil dan mengeluarkan produk input tanamannya  kerana tidak tahan dengan mainan harga serta saingan produk tanaman import dalam tempoh 8 tahun kebelakangan ini.

“Kira-kira 15 tahun dulu,kami boleh dapat untung lumayan sebab kita jarang dengar harga ladang  teruk, saingan barangan import keterlaluan dan lambakan tidak terkawal ladang haram milik  pendatang asing”, kata Ida.

Penat dengan persekitaran pengeluaran pertanian, Ida mengambil keputusan untuk menjadi pakar perunding tanaman padi di Brunei pada tahun 2019 dan balik semula ke Malaysia selepas Covid 19 untuk memulakan semula perniagaan secara kecil-kecilan kerana bimbang risiko kerugian besar seperti yang pernah dilaluinya dulu.

Cerita yang hampir sama dengan usahawan tani saya di Kedah yang sudah mula meninggalkan sawah untuk beralih kepada tanaman kelapa sawit dan pisang walaupun kerajaan semakin tertekan dengan kekurangan beras tempatan serta isu keterjaminan makanan negara.

“Kami rindukan zaman 10 hingga 15 tahun dulu apabila kami berasa tenang dan seronok berniaga berbanding sekarang”, kata anak-anak muda itu.

Sebahagian mereka ini turut dilahirkan oleh kerajaan melalui program keusahawanan tani.

“Kadang-kadang kami berasakan telah ‘dibunuh’ oleh sistem kerajaan, walaupun kami asalnya produk  kerajaan sendiri”, kata usahawan yang mahu dikenali sebagai Adam.

Dalam usaha saya mencari peluang baru untuk usahawan Bumiputera di Thailand, saya mengadakan pertemuan santai bersama sebahagian ahli-ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Cawangan Perak) untuk melibatkan mereka dalam misi kerjasama perniagaan wilayah sempadan kedua-dua negara.

Saya mengambil kesempatan bertanya mengenai prestasi dan dasar berkaitan sokongan kerajaan terhadap usahawan Bumiputera.

Antara keluhan mereka ialah soal hala tuju ekonomi untuk Bumiputera yang tidak jelas dan terlalu banyak gimik politik berbanding keberhasilannya.

“Ada lagikah dasar usahawan Bumiputera sekarang?”, tanya salah seorang otai bisnes yang saya kenali sebagai Man dalam perbincangan kami itu.

Pertanyaannya Man  dijawab oleh AJK yang lain dengan mengatakan bahawa mereka sudah bosan dengan berbagai kongres dan konvensyen anjuran parti-parti Melayu yang dianggap hanya retorik politik untuk meraih sokongan semata-mata.

Saya juga menerima keluhan usahawan  kaum lain yang menjadi penyedia latihan kemahiran swasta lebih 30 tahun. Antaranya sahabat saya yang berbangsa India. Beliau   bimbang akan mengakhiri usianya yang hampir 80 tahun dengan menyaksikan pusat latihannya yang suatu masa dulu berdiri gah dan sangat dihormati terkubur dengan beban hutang.

“Sekarang kerajaan tidak berkongsi kek ekonomi dengan kita secara baik macam dulu. Semua kerajaan nak buat sendiri dan bersaing dengan kita pula, walaupun mereka sendiri tidak mampu untuk mencapai matlamat TVET jika tidak bekerjasama dengan kita sepenuhnya. Kalau ada pun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja”, katanya.

Mengakhiri tinjauan saya ialah peniaga-peniaga Cina di sekitar Kampar, Perak yang totok kecinaannya. Ketika saya makan bersama mereka,ramai antara mereka mengeluh dengan kenaikan harga barang semakin ketara sejak perang Iran.

Kata mereka,dasar dan persekitaran bisnes yang tidak mesra perniagaan menyebabkan  mereka semakin tertekan, khususnya sejak Kerajaan MADANI mengambil alih tampuk kuasa seperti isu cukai, e-invois dan macam-macam lagi yang dianggap bertentangan dengan janji-janji mereka semasa PRU-15 dulu.

Paling memeranjatkan saya apabila seorang Ah Sok (pak cik)  memberitahu saya bahawa rangkaian maklumat yang disebarkan dalam kalangan kaum itu seolah-olah memberi peringatan supaya orang Cina bersatu untuk memberi pengajaran kepada parti-parti politik yang mereka sokong selama ini untuk mewujudkan gelombang baru dalam PRU-16 nanti.

“Kami sudah menerima mesej yang  seolah-olah memberi bayangan  Pulau Pinang juga akan berubah angin kali ini dan saya amat yakin bahawa orang Cina akan kurang meroket dalam PRU 16 nanti” kata Ah Sok itu sambil disambut gelak ketawa ketika makan di medan selera pekan Kampar kelmarin.

Saya tahu sedikit sebanyak cara kaum Cina menentukan keputusan pilihan raya terutama peranan persatuan komuniti mereka. Sistem wisel yang memberi arahan untuk bersepakat paling berpengaruh ini lebih bersifat ‘underground strategy’.

Selalunya itulah cara mereka seperti yang diceritakan Ah Sok Kampar itu. Biasanya memang betul dan tepat akan berlaku sepertimana saya dimaklumkan Ah Sok sebelum pilihan raya negeri Sabah tahun lalu. Keputusannya sama dan tepat. !

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img