KESALAHAN memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans menjadi antara kesalahan tertinggi dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam Operasi 1 Johor yang dijalankan di Jalan Besar, Pasir Gudang, hari ini.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, sebanyak 8,932 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 2,393 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada lesen memandu membabitkan 572 kes.
“Ia diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 523 kes dan tiada perlindungan insurans sebanyak 506 kes.
“Turut dikesan ialah kesalahan ubah suai kenderaan sebanyak 135 kes, tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) sebanyak 56 kes, CDL tamat tempoh (33), GDL tamat tempoh (10), disk Puspakom tamat tempoh (20) dan lain-lain kesalahan sebanyak 132 kes,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.
Beliau berkata, bagi kesalahan teknikal, penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi mencatat jumlah tertinggi iaitu 357 kes.
Katanya, ia diikuti pelbagai kesalahan teknikal lain sebanyak 418 kes dan penggunaan tayar yang tidak mengikut spesifikasi sebanyak 35 kes.
Dalam perkembangan lain, Zulkarnain berkata, sebanyak 83 kenderaan mewah telah disita menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga hari ini.
Menurutnya, semua kenderaan berkenaan disita selepas didapati melakukan kesalahan tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik atau pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya serta syarat ditetapkan,” katanya.
Operasi 1 Johor itu melibatkan seramai 254 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan, bermula jam 4.30 petang hingga 7 malam.






