6 motosikal disita dalam operasi cegah lumba haram

ADUAN penduduk mengenai kegiatan lumba haram yang mengganggu ketenteraman di kawasan perumahan membawa kepada tindakan tegas polis apabila enam motosikal disita dan puluhan saman dikeluarkan dalam operasi khas di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti lumba haram yang sering berlaku di Jalan Villa Natura, Bandar Puteri Jaya.

Menurutnya, operasi bermula kira-kira jam 10.20 malam dengan membabitkan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

“Hasil operasi, sebanyak 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Selain itu, enam motosikal turut disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Katanya, rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Muda turut menjalankan Op Mabuk di Jalan Kampung Raja bermula jam 11 malam hingga 2 pagi tadi.

Hanyan berkata, seramai 40 individu dan 35 kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Menurutnya, seorang pemandu lelaki berusia 58 tahun menjalani ujian saringan alkohol dan didapati mencatat bacaan 36 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah, namun masih berada di bawah had yang dibenarkan.

“Sebanyak 25 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen, tiada perlindungan insurans, kesalahan lampu kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh serta tidak memakai tali pinggang keledar.

“Tiada tangkapan dibuat dan tiada kenderaan disita sepanjang Op Mabuk dijalankan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img