DRAMA Korea Teach You A Lesson yang sedang mencetuskan perbincangan hangat mengenai isu pendidikan di media sosial kini mengaitkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila beliau disamakan dengan watak utama drama berkenaan, Choi Gang Seok.
Perbandingan itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook menerusi satu hantaran yang memuji mesej serta nilai yang diketengahkan dalam drama berkenaan.
Menurut individu terbabit, walaupun drama itu hanya sebuah karya fiksyen, pengajaran yang disampaikan memberi impak besar kepada masyarakat terutama berkaitan pendidikan, disiplin dan pembentukan sahsiah pelajar.
“Sungguhpun cuma cerita, namun ia memberikan impak yang sangat besar kepada kita semua.
“Kalau di Korea ada Pengarah Choi Gang Seok, di Malaysia kita ada Asyraf Wajdi,” tulisnya.
Hantaran itu kemudiannya menarik perhatian Asyraf Wajdi yang turut berkongsi semula kandungan berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.
Dalam reaksinya, beliau mengakui turut mengikuti drama yang sedang popular itu sehingga sanggup berjaga malam untuk menontonnya.
“Aduhai, macam-macam netizen ni. Saya pun dah terjebak dengan drama tersebut.
“Dua malam dah tidur lewat. Baru masuk episod ketiga,” katanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut menyertakan tanda pagar #YouTouchYouGo, yang sinonim dengan pendekatannya dalam menangani kesalahan disiplin, buli dan salah laku di institusi pendidikan.
Drama Teach You A Lesson menjadi fenomena di Malaysia kerana mengangkat pelbagai isu pendidikan yang dekat dengan realiti masyarakat termasuk tekanan akademik, peranan guru, tanggungjawab ibu bapa dan kesejahteraan pelajar.






