SEORANG lelaki bekerja sebagai pembantu kedai mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas dua pertuduhan menetak bapanya menggunakan parang serta membakar sebuah kereta dan motosikal dalam kejadian di Kampung Wakaf, Pasir Puteh, minggu lalu.
Tertuduh, Wan Saiful Wan Animebusu, 24, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, Wan Animebusu Wan Yusoff, 59, menggunakan sebilah parang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Wakaf, Pasir Puteh kira-kira jam 6.30 petang pada 1 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa melakukan khianat dengan api menggunakan petrol dengan niat menyebabkan kebinasaan harta benda apabila membakar sebuah kereta Proton Satria Neo dan motosikal Honda C70.
Perbuatan itu menyebabkan pemilik kenderaan mengalami kerugian dianggarkan RM7,000 dan dilakukan di lokasi, masa serta tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain ditetapkan bagi prosiding penyerahan barang kes dan jatuh hukum.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk prosiding penyerahan barang kes serta hukuman terhadap tertuduh.






