Konflik Asia Barat mula pengaruhi keputusan pelaburan, jejaskan pekerjaan- FMM

GANGGUAN yang berpanjangan akibat konflik di Asia Barat kini mempengaruhi keputusan pelaburan dan tenaga kerja.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata, daripada 196 syarikat yang memberi maklum balas dalam Kajian Ketiga Mengenai Impak Konflik Asia Barat terhadap Pembuatan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan Malaysia sebanyak 42% telah membuat pelarasan tenaga kerja sejak Mei 2026.

‘’Ia termasuk pembekuan pengambilan pekerja (21%) dan pengurangan waktu bekerja (20%), manakala 5% terus melaksanakan atau telah mengumumkan rancangan pemberhentian pekerja,’’ kata FMM dalam kenyataan.

FMM hari ini mengumumkan hasil kajian tersebut yang dilakukan antara 25 Mei hingga semalam.

Menurut FMM, sebanyak 41% telah menangguhkan atau membatalkan projek pelaburan, automasi atau pengembangan.

‘’Kelewatan berpanjangan dalam pelaburan industri dan peningkatan teknologi membawa risiko jangka panjang terhadap produktiviti Malaysia, agenda transformasi industri dan daya saing masa hadapan negara,’’ kata FMM.

Menurut FM,buat pertama kalinya, kajian itu meneliti isu perolehan tempatan dan sebanyak 46% telah mendapatkan atau cuba mendapatkan bekalan daripada pembekal Malaysia.

‘’Namun, 36% mendapati spesifikasi atau gred yang diperlukan tidak tersedia di dalam negara, manakala 31% mendapati harga tempatan tidak kompetitif berbanding import. Peningkatan penggunaan sumber tempatan boleh mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, namun langkah bersasar diperlukan untuk menangani isu daya saing kos dan ketersediaan produk,’’ kata FMM.

FMM mengalu-alukan respons kerajaan susulan pembentangan dapatan kajian kedua kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 19 Mei 2026.

‘’Usaha memudahkan perolehan bahan mentah alternatif, pengenalan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS oleh Bank Negara Malaysia (BNM), serta pertimbangan pelepasan cukai bagi kargo eksport yang dipulangkan merupakan langkah positif dan tepat pada masanya.

 Kata FMM, esediaan kerajaan untuk berinteraksi secara langsung dengan industri juga amat dihargai. Namun, dapatan kajian menunjukkan langkah bantuan tersebut masih belum sampai kepada sebahagian besar pengilang yang terjejas.

‘’Hanya 11% responden telah memohon Kemudahan Bantuan Khas PKS (SRF). Halangan struktur terbesar ialah syarat kelayakan, dengan 25% responden melaporkan mereka tidak layak kerana berada di luar definisi PKS,’’ kata FMM.

FMM memberitahu, pengilang bersaiz pertengahan ini, yang lazimnya mempunyai perolehan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta, berada dalam jurang pembiayaan kerana terlalu besar untuk mendapat bantuan yang dikhususkan kepada PKS, tetapi tidak mempunyai daya tahan kewangan, kekuatan kunci kira-kira atau ruang kredit seperti syarikat multinasional besar.

‘’ Akibatnya, ramai masih berdepan cabaran modal kerja yang ketara berpunca daripada peningkatan inventori, kos pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan. Responden turut memaklumkan bahawa had pembiayaan RM750,000 mungkin tidak mencukupi bagi syarikat yang layak dan beroperasi pada skala lebih besar.

‘’Dapatan ini menunjukkan kewujudan jurang pembiayaan yang menjejaskan segmen pengilang yang berada di luar rangka kerja bantuan sedia ada walaupun terus menghadapi tekanan kos dan aliran tunai yang ketara,’’ kata  FMM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img