Lelaki dipenjara tujuh tahun, 10 sebatan miliki lebih 300 gram kanabis

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 311.1 gram di sebuah hotel di Bukit Bintang, Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sali Sangsangan, 39, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap pada 17 Mac 2025.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dadah jenis kanabis seberat 311.1 gram di sebuah hotel di Bukit Bintang pada jam 1.20 pagi, 17 Mac 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memaklumkan mahkamah bahawa pertuduhan pilihan ditawarkan kepada tertuduh selepas Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan bagi mengurangkan pertuduhan asal.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peguam M Manoharan yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan telah insaf atas perbuatannya.

“Tempoh lebih setahun berada dalam penjara memberi kesedaran kepada tertuduh dan dia kini menyesali perbuatannya,” katanya.

Bagaimanapun, Faridah Nurdinie memohon hukuman maksimum dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dadah serta kepentingan awam.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah dalam kes ini besar, iaitu lima kali ganda had statutori pemilikan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img