SEORANG lelaki menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara satu tahun enam bulan serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sandakan, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Tertuduh, Manan Sabung yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roslinda Razali.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki telur penyu daripada spesies Penyu Hijau (Chelonia mydas) dan Penyu Sisik (Eretmochelys imbricata) tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah premis di Sandakan pada jam 5.50 petang, 7 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Sabah, Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain menjatuhkan hukuman, mahkamah turut memerintahkan supaya tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.






