Inspektor polis bebas tiga pertuduhan minta, terima rasuah

SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini daripada tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM41,000 pada 2022.

Hakim Ahmad Faizhad Yahaya membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan terhadap Saharulzaman Alizaman, 42, selepas mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa tertuduh meminta dan menerima wang bagi tujuan rasuah.

Dalam keputusannya, beliau berkata, mahkamah turut mendapati wujud percanggahan serius antara keterangan pengadu dan saksi mata yang menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata, tindakan pegawai penyiasat yang gagal mendapatkan penjelasan berhubung percanggahan berkenaan walaupun mengetahui mengenainya lebih awal, menunjukkan kecuaian dalam siasatan dan menjejaskan kredibiliti kes pendakwaan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Saharulzaman yang ketika kejadian bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, mengaku tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Tawau pada 8 Julai 2022.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meminta rasuah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang disyaki menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, selain meminta RM4,000 sebagai wang perlindungan bagi kegiatan berkenaan.

Dia turut didakwa menerima suapan RM17,000 daripada individu sama di dalam Perodua Alza di kawasan Double Bay, Lahad Datu, pada 16 Ogos 2017.

Bagi dua pertuduhan meminta rasuah, Saharulzaman didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan menerima rasuah dibuat mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img