MCMC tidak bias dalam tindakan terhadap kandungan dilapor – Fahmi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak bertindak secara berat sebelah dalam menerima aduan atau mengambil tindakan terhadap kandungan di platform media sosial, termasuk kandungan berkaitan politik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setiap platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti tersendiri manakala peranan MCMC adalah membawa aduan pengguna kepada perhatian pihak platform untuk tindakan lanjut.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, pengguna juga kini boleh membuat laporan secara terus kepada platform berkenaan sekiranya mendapati sesuatu kandungan melanggar garis panduan ditetapkan.

“Setiap platform ada garis panduan komuniti masing-masing dan tugas tanggungjawab MCMC sebagai sebuah badan berkanun adalah untuk membawa kepada perhatian platform sekiranya ada aduan daripada orang ramai.

“Orang ramai bukan hanya perlu bergantung kepada MCMC, mereka juga boleh terus membuat laporan kepada platform-platform itu sendiri melalui butang laporan yang disediakan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Mengulas dakwaan beberapa aktivis dan pencipta kandungan yang menerbitkan kandungan kritikal terhadap kerajaan diturunkan atau disiasat MCMC, Fahmi berkata keputusan akhir untuk menurunkan sesuatu kandungan adalah tertakluk kepada pihak platform.

“MCMC menerima aduan dan memanjangkan kepada platform tanpa bias, tanpa fear of favour dan tanpa rasa perlu memihak kepada mana-mana pihak.

“Akhirnya terpulang kepada platform untuk menurunkan atau tidak. Bukan semua kandungan yang dibawa oleh MCMC kepada platform media sosial diturunkan, malah banyak sebenarnya yang tidak diturunkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata judi dalam talian kekal antara kategori kandungan yang paling banyak menerima permintaan untuk diturunkan oleh MCMC.

Bagaimanapun, katanya, pengendali judi dalam talian masih terus beroperasi menerusi iklan berbayar serta akaun palsu di platform media sosial.

“Di bawah rejim pelesenan platform media sosial, perkara ini tertakluk kepada Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang terpakai kepada semua platform media sosial.

“Sudah ada garis panduan yang mula berkuat kuasa dan sekiranya platform gagal melaksanakan tanggungjawab memastikan ekosistem media sosial yang lebih baik termasuk membanteras judi dalam talian, tindakan boleh diambil,” katanya.

Menurutnya, tindakan terhadap platform yang ingkar boleh dibawa ke mahkamah atau dikenakan penalti sehingga RM10 juta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img