JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menumpaskan sindiket penyeludupan migran apabila menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai dalang yang cuba menyeludup masuk 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, semalam.
Kesemua mereka ditahan dalam Ops Serkap yang disertai 14 pegawai dan anggota JIM Kelantan di Jalan Kebun Sultan dan Kampung Tal Tujoh, di Kota Bharu kira-kira jam 6 pagi.
Pengarah Imigresen Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berjaya mengesan tiga kenderaan dipercayai akan digunakan untuk mengangkut PATI ke luar Kelantan dan hasilnya berjaya menahan lima lelaki serta enam wanita Myanmar.
“Hasil pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan berjaya mengesan seramai 17 lelaki dan tujuh wanita Myanmar yang bersembunyi di dalam semak.
“Keseluruhan ditahan 22 lelaki dan 13 wanita warganegara Myanmar yang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dua lelaki tempatan ditahan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Garry Belayong berkata, operasi itu berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan masuk dan keluar PATI ke negeri ini.
“JIM Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, terutamanya rakyat tempatan yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan melindungi atau menyeludup PATI. Kita menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,” katanya.





