SEMUA sembilan Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara kini dijenamakan semula kepada Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengumumkan perkara itu berkata, kesemua sembilan sekolah terbabit kini diserahkan di bawah pentadbiran Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, sembilan sekolah terbabit adalah SMT Alor Setar, Kedah; SMT Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang; SMT Cheras, Kuala Lumpur; SMT Tuanku Jaa’far, Negeri Sembilan; SMT Bukit Piatu, Melaka, SMT Kuala Terengganu, Terengganu; SMT Kuantan, Pahang, SMT Johor Bahru, Johor dan SMT Sejingkat, Sarawak.
Menurut Fadhlina, langkah pemindahan operasi itu bukan sekadar satu transformasi pentadbiran, sebaliknya strategi dirancang teliti bagi memartabatkan Pendidikan Latihan Teknisal dan Vokasional (TVET) ke tahap lebih tinggi.
“Langkah ini akan memberi fokus kepada kecemerlangan akademik dan teknikal berprestasi tinggi, sekali gus meletakkan status SBP-T setaraf dengan sekolah berasrama penuh (SBP) sedia ada di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina memberitahu, menerusi usaha pengstrukturan baharu itu, peranan SBP-T akan terus diperkasakan bagi melahirkan modal insan cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Langkah proaktif itu juga mampu memenuhi unjuran dan keperluan tenaga kerja mahir serta profesional negara pada masa hadapan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, katanya.





