PENGUNDI Negeri Sembilan diminta menjadikan rekod dan prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai asas untuk mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos depan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaburan yang tinggi diterima dan rizab yang meningkat berkali ganda membuktikan kemampuan Aminuddin dalam memajukan negeri dan menjayakan aspirasi rakyat.
“Kita (PH) melangkah dalam pilihan raya ini dengan rekod pentadbiran baik pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Kita tawarkan kestabilan, politik yang lebih segar untuk dinilai oleh generasi yang akan datang.
“Kita berikan tawaran pilihan yang terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan, seharusnya ia menjadi pilihan pada pilihan raya ini dengan memberi mandat kepada PH mentadbir negeri ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di Seremban malam ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yakin dengan kekuatan yang ada pada PH untuk menawan semua 36 kerusi dipertandingkan.
“Kerja utama kita kini adalah memastikan PH dapat memenangi semua kerusi sekali gus mengekalkan PH memerintah di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh Aminuddin bahawa pembahagian kerusi dalam kalangan ahli gabungan sudah diselesaikan dengan baik dan sempurna.
Menurutnya, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui yang menimbulkan sedikit pertikaian juga sudah diselesaikan dengan baik apabila kerusi itu diberikan kepada Amanah.
“Ini jelas membuktikan permuafakatan diamalkan dalam kalangan kepemimpinan PH yang sentiasa menjadi asas dalam menyelesaikan setiap permasalahan.
“Saya yakin dengan selesainya pembahagian kerusi terutama di Sungai Lui petanda untuk kita menang semua kerusi,” katanya.






