MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang menilai semula kedudukan pasukan pengaman di Lubnan, berikutan mandat misi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) dijadualkan tamat pada Disember ini.
Menteri pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan semasa kerajaan ialah membawa pulang semua anggota MALBATT pada akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, sekiranya PBB memutuskan bahawa kehadiran pasukan pengaman masih perlu diteruskan bagi mengelakkan Lubnan menjadi padang jarak padang tekukur, Malaysia bersedia untuk mempertimbangkan kerjasama tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di Kota Tinggi hari ini.

Mohamed Khaled bersyukur kerana setakat ini tiada sebarang insiden kehilangan nyawa melibatkan anggota Malaysia, berbeza dengan situasi yang menimpa beberapa pasukan pengaman negara lain di kawasan konflik berkenaan.
Beliau memberitahu, berikutan situasi keselamatan semakin mencabar di zon konflik peperangan di Lubnan, Kementerian Pertahanan mengarahkan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 supaya meningkatkan langkah keselamatan dan sentiasa berwaspada.
Mohamed Khaled berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota pengaman negara yang kini bertugas di kawasan konflik sentiasa terjamin.
‘’Kita (kementerian) telah memberikan panduan bahawa ancaman dan cabaran sebegini memang boleh berlaku, dan kita menasihati pasukan supaya mengambil tindakan berjaga-jaga,” katanya.
Mengenai keadaan dua anggota MALBATT yang cedera pada Khamis lalu, beliau berkata kecederaan mereka berpunca daripada serpihan bom yang jatuh berhampiran lokasi anggota terlibat iaitu di kawasan berhampiran Haris, selatan Lubnan dan bukannya akibat serangan secara langsung.
“Kesemua anggota yang cedera telah menerima rawatan daripada pasukan perubatan yang bertugas di sana dan keadaan mereka stabil,” katanya.






